1.0 Pengenalan
Raja
Ali Haji bin Raja Haji Ahmad, merupakan salah seorang tokoh pujangga Melayu
yang dilahirkan dalam keluarga bangsawan di Pulau Penyengat, Riau. Beliau
merupakan cucu kepada Raja Haji, atau lebih dikenali sebagai Marhum Teluk
Ketapang yang syahid di Melaka sewaktu berperang menentang Belanda. Salasilah
beliau kemudiannya disusurgalurkan lagi hingga kepada Daeng Chelak, salah
seorang daripada lima daeng yang memainkan peranan penting dalam sistem politik
di bahagian Barat alam Melayu suatu ketika dahulu (Mohd Taib Osman 1976).
Pengaruh dan ketokohan beliau dalam bidang keilmuan bermula semenjak kecil lagi
apabila beliau mendalami ilmu bahasa dan keagamaan di Mekah. Pada zaman
pemerintahan Raja Ali, beliau memainkan peranan sebagai perdana menteri dan
penasihat agama, sesuai dengan kebolehan beliau yang menguasai ilmu nahu,
usuluddin, fiqh, dan tasauf (Mohd Pozi Haji Masurori 1997). Dalam bidang
penulisan pula, Raja Ali Haji merupakan penulis pertama yang memberi definisi
lengkap mengenai gurindam. Istilah gurindam sebelum itu tidak memiliki ciri dan
bentuk yang khusus, sebaliknya hanya dianggap sebagai ungkapan puisi
biasa yang berbeza daripada pengucapan seharian. Selain itu, beliau juga
merupakan pengarang Melayu pertama yang mengaplikasikan sistem pentarikhan ke
dalam karya secara tepat dan jelas.
Kehebatan Raja
Ali Haji sebagai tokoh pujangga Melayu juga terserlah melalui hasil tulisannya
yang pelbagai. Kearifan beliau tidak sekadar terhad dalam bidang agama
semata-mata, sebaliknya beliau turut berkarya dalam lapangan disiplin ilmu yang
lain seperti bahasa, sejarah, dan ketatanegaraan. Antara karya yang dihasilkan
oleh beliau termasuklah Syair Sultan Abdul Muluk (1847), Bustan
Al-Katibin (1851), Thamarat Al-Muhimmah (1857), Mukaddimah
Fi-Intizam (1857),Ikat-ikatan Dua Belas Puji (1857), Kitab
Pengetahuan Bahasa (1858), Gurindam Dua Belas (1864),Silsilah Melayu
dan Bugis (1865), dan Tuhfat Al-Nafis (1865). Dalam
himpunan karya-karya tersebut,Tuhfat Al-Nafis merupakan karya yang
amat terkenal,. Karya tersebut dilihat begitu identik dengan diri beliau malah
memainkan peranan sebagai magnum opus atau karya agung yang
pernah dihasilkan oleh Raja Ali Haji. Namun demikian, Gurindam Dua Belas turut
mempunyai mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Meskipun dalam bentuknya yang
ringkas, kelebihan Gurindam Dua Belas adalah terletak kepada daya pemikiran dan
falsafahnya yang tinggi. Dalam ungkapan yang padat, Raja Ali Haji masih mampu
menggabungjalinkan unsur estetika luaran dan keindahan dalaman.
Menurut
Pendeta Za’ba gurindam adalah jenis syair melarat yang tidak teratur,
berangkap-rangkap dan tidak tetap sekatannya, timbangannya dan sajaknya.
Menurut beliau lagi, bahasa gurindam padat dan bernas serta isinya lebih
cenderung kepada suasana riang dan sukacita sebagai nyanyian jenaka, senda
gurau, kelakar, sindiran, giat yang bermain-main dan mengelikan hati. Dalam hal
ini ia menunjukkan ada kesempatan boleh melengah-lengahkan masa dan menyukakan
hati.
Gurindam 12
adalah karya Raja Ali Haji yang mengandungi nasihat-nasihat tentang kehidupan
yang perlu dilalui oleh seseorang individu. Dalam Gurindam 12 ini, terdapat
kekuatan karya daripada aspek falsafah dan pemikiran dan kepengarangan dan
estetika. Gurindam Dua Belas mengandungi dua belas fasal yang membincangkan
pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun di
akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah
mengenai akidah dan tasauf, syariat rukun Islam, kepentingan akhlak, serta
konsep pemerintahan. Setiap fasal dilihat berupaya menyentuh jiwa kesedaran
masyarakat, sekaligus memainkan peranan penting bagi membentuk nilai
keperibadian insan berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun
dan digarap dalam Gurindam 12, secara tidak langsung mencerminkan contoh insan
yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan
sempurna.
2.0 Falsafah dan Pemikiran
Falsafah bermaksud
cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri
seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran.
Tegasnya, ‘berfalsafah’ ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran,
tentang segala sesuatu yang dimasalahkan dengan berfikir secara radikal,
sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi
masalah dalam hubungannya dengan mencari kebenaran, maka orang itu dikatakan
telah memasuki falsafah.
2.1 Falsafah Etika
Kekuatan karya Raja Ali
Haji dalam Gurindam 12 ini memiliki kekuatan falsafah daripada sudut etika dan
sosial. Falsafah etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan
pengajaran. Dalam Gurindam 12 ini, bidang falsafah etika dapat dilihat melalui
pelbagai aspek pengajaran yang sempurna yang ingin disampaikan penulis kepada
pembaca. Terdapat nasihat untuk berbudi bahasa dan berperangai mulia yang dapat
dilihat melalui Fasal 6. Nasihat untuk memeliharakan diri daripada perbuatan
yang boleh mendatangkan akibat tidak baik ini dapat dilihat dalam Fasal 7 dan
8. Pada Fasal 9, penulis telah menyatakan nasihat dan peringatan tentang jangan
melakukan pekerjaan yang kurang baik. Iblis pula sentiasa cuba memperdayakan
manusia tanpa mengira peringkat umur. Syaitan pula adalah musuh nombor satu
manusia dan akan cuba sentiasa mempengaruhi manusia untuk melakukan perkara
yang tidak elok. Pada Fasal 10, penulis telah menyatakan nasihat untuk
menghormati, bertimbang rasa dan berbuat jasa. Nasihat yang paling berguna yang
harus diikuti ialah kita harus hormat kepada ibu bapa dan jangan derhaka kepada
mereka kerana banyak jasa yang telah mereka taburkan kepada kita. Kita juga
harus ingat akan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak supaya boleh menjadi
insan yang berguna. Soal isteri dan kawan juga harus sentiasa diambil ingatan.
Fasal
10
Dengan
bapa jangan durhaka,
Supaya
Allah tidak murka.
Dengan
ibu hendaklah hormat,
Supaya
badan dapat selamat.
.
2.2 Falsafah Sosial
Bidang falsafah sosial
menunjukkan gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Dalam gurindam
ini, falsafah sosial dapat dilihat melalui Gurindam Fasal 2 iaitu pengarang
telah menyatakan gambaran kehidupan individu apabila mengabaikan tanggungjawab
sebagai seorang Islam. Sebagai contohnya, dapat dilihat melalui bait-bait
gurindam:
Barang
siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti
rumah tiada bertiang.
Barang
siapa meninggalkan puasa,
Tidaklah
mendapat dua termasa.
2.3 Falsafah Politik
Dalam Gurindam 12,
pengarang juga telah memasukkan falsafah politik bagi memberi gambaran tentang
pemerintahan yang telah dilaksanakan oleh pemimpin kepada rakyat dan negara.
Politik ialah aplikasi dan tujuan sistem pemerintahan sesebuah negara. Sebagai contohnya
dalam Gurindam Fasal 11 dan Fasal 12 menceritakan atau memberi nasihat kepada
para pemimpin agar menghindari tindakan yang tercela, berusaha melaksanakan
amanat anak buah dalam tugasnya serta tidak berkhianat.
Fasal 11
Hendaklah
berjasa,
Kepada yang sebangsa.
Hendaklah
jadi kepala,
Buang
perangai yang cela.
Hendaklah memegang amanat,
Buanglah
khianat.
Fasal
12
Raja
muafakat dengan menteri,
Seperti
kebun berpagarkan duri.
Betul
hati kepada raja,
Tanda
jadi sebarang kerja.
Hukum
adil atas rakyat,
Tanda
raja boleh beroleh inayat.
2.4 Pemikiran
Pemikiran bermula
dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia
menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang
mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian
menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Dalam Gurindam 12 ini,
pengarang telah membawa mesej yang berkisarkan nasihat tentang memelihara
anggota diri dan berbudi pekerti. Pemikiran yang dibawa oleh pengarang dalam
gurindam ini sangat bertepatan dengan kehidupan masyarakat pada hari ini. Pada
Fasal 3 dalam gurindam ini, pengarang telah membawa mesej atau pemikiran
tentang penjagaan anggota diri yang baik dan selamat akan membawa kepada
kehidupan yang harmoni dan terpelihara daripada keburukan. Sebagai contohnya,
dapat dilihat dalam bait-bait gurindam fasal ini:
Apabila
terpelihara mata,
Sedikitlah
cita-cita.
Apabila
terpelihara kuping,
Khabar
yang jahat tiadalah damping.
Apabila
terpelihara lidah
Niscaya
dapat daripadanya paedah.
Sebagai
contohnya, pada Fasal 4 dan Fasal 5, pengarang telah memberi mesej tentang penjagaan
anggota badan daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan diri dan tabiat
atau perlakuan yang baik lahir daripada hati dan akal fikiran iaitu budi dan
juga menyarankan supaya menjaga hati dan perbuatan yang dilarang oleh agama.
Bait-bait gurindam ini dapat dilihat dalam Fasal 4.
Fasal 4
Hati
kerajaan di dalam tubuh, jikalau zalim segala anggota pun roboh
Apabila
dengki sudah bertanah, datanglah daripadanya beberapa anak
panah.
panah.
Mengumpat
dan memuji hendaklah pikir,
Di
situlah banyak orang yang tergelincir.
Fasal
5
Jika
hendak mengenai orang berbangsa,
Lihat
kepada budi dan bahasa.
Jika
hendak mengenal orang yang berbahagia,
Sangat
memeliharakan yang sia-sia.
Jika
hendak mengenal orang mulia,
Lihatlah kepada kelakuan
dia.
Di samping itu, pengarang juga telah memberi mesej
atau pemikiran tentang aspek ketuhanan di mana pengarang telah memberi nasihat
tentang agama, menceritakan tentang orang yang meninggalkan solat, puasa, zakat
dan haji berserta akibatnya. Sebagai buktinya, mesej atau pemikiran Gurindam 12
ini dapat dilihat pada Fasal 1 dan Fasal 2.
Fasal
1
Barang
siapa tiada memegang agama,
Sekali-kali
tiada boleh dibilangkan nama.
Barang
siapa mengenal yang empat,
Maka
ia itulah orang yang ma’rifat.
Fasal
2
Barang
siapa mengenal yang tersebut,
Tahulah
ia makna takut.
Barang
siapa meninggalkan sembahyang,
Seperti
rumah tiada bertiang.
Selain itu, pengarang juga telah memberi mesej atau
pemikiran tentang budi pekerti yang baik yang perlu diamalkan oleh manusia
dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana budi pekerti yang baik dan
mulia dapat mendidik diri menjadi orang yang beerwawasan dan disegani oleh
masyarakat. Dalam pada itu, setiap individu diingatkan agar menjaga kelakuan
atau perbuatan yang tidak baik iaitu boleh merosakkan akal fikiran supaya dapat
melatih diri agar berbudi pekerti dan terhindar daripada hati yang kotor. Keluhuran
budi pekerti yang hendak disampaikan oleh pengarang dapat dilihat dalam Fasal 3
dan Fasal 4 dalam Gurindam 12.
Fasal
3
Apabila
perut terlalu penuh,
Keluarlah
fi’il yang tiada senonoh.
Anggota
tengah hendaklah ingat,
Di
situlah banyak orang yang hilang semangat.
Fasal
4
Barang
siapa yang sudah besar,
Janganlah
kelakuannya membuat kasar.
Barang
siapa perkataan kotor,
Mulutnya
itu umpama ketor.
Mesej atau pemikiran yang hendak disampaikan oleh pengarang
dalam Gurindam 12 ini juga berkisarkan tentang pentingnya pendidikan kepada
generasi muda dan pentingnya memperluaskan pergaulan dengan kaum terpelajar.
Keadaan ini dapat dibuktikan melalui Gurindam 12 pada Fasal 5. Melalui Fasal 5
dalam Gurindam 12 ini, pengarang menyampaikan nasihat bahawa orang yang pandai
tidak akan pernah jemu untuk belajar dan memetik pelajaran dari hidupnya di
dunia dan orang yang berakal adalah orang yang telah mempersiapkan bekal selama
hidup di dunia ini. Selain itu, pengarang juga memberi nasihat kepada pembaca
bahawa sekiranya ingin melihat sikap baik seseorang, maka lihatlah saat dia
bergaul dengan masyarakat di sekelilingnya.
Fasal
5
Jika
hendak mengenal orang yang berilmu,
Bertanya
dan belajar tiadalah jemu.
Jika
hendak mengenal orang yang berakal,
Di
dalam dunia mengambil bekal.
Jika
hendak mengenal orang yang baik perangai,
Lihat
pada ketika bercampur dengan orang ramai.
Di samping itu juga, pengarang juga telah
menyampaikan nasihat berkaitan dengan betapa pentingnya pergaulan untuk mencari
sahabat yang baik dan guru sejati yang dapat mengajarkan mana yang baik dan
mana yang buruk sebagai mesej dan pemikiran dalam Gurindam 12 ini. Dalam pada
itu, pengarang juga cuba menyampaikan nasihat tentang moral pergaulan pria
wanita dan tentang pendidikannya. Hal ini dapat dibuktikan melalui Fasal 6 dan
Fasal 9 dalam Gurindam 12.
Fasal
6
Cahari
olehmu akan sahabat,
Yang
boleh dijadikan obat.
Cahari
olehmu akan guru,
Yang
boleh tahukan tiap seteru.
Fasal
9
Kejahatan
seorang perempuan tua,
Itulah
iblis punya penggawa.
Kepada
segala hamba-hamba raja,
Di
situlah syaitan tempatnya manja.
Kebanyakan
orang yang muda-muda,
Di
situlah syaitan tempat bergoda.
Perkumpulan
laki-laki dengan perempuan,
Di
situlah syaitan punya jamuan.
3.0 Kepengarangan dan Estetika
Dalam dunia sastera,
estetik dan kepengarangan adalah dua aspek yang penting dan mempengaruhi
kedudukan sesebuah teks dan seseorang sasterawan. Estetik berhubung-kaitkan
dengan persoalan keindahan yang menjadi dasar karya sastera; ia membicarakan
unsur keindahan pembinaannya, bahasanya dan pengalaman keseronokan membacanya.
Sementara kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kearifan
seseorang pengarang itu dalam berkarya. Biasanya kepengarangan dapat
menerangkan kekuatan, keistimewaan atau kelemahan seseorang pengarang.
Kepengarangan dalam Gurindam 12 yang dicipta oleh pengarang
dapat melahirkan keindahan bahasa yang puitis dalam setiap rangkap gurindam
yang mampu melahirkan semangat ingin tahu pembaca untuk mendalami setiap gaya
bahasa yang sangat menarik dan kupasan maksud yang disampaikan oleh pengarang
dalam setiap rangkap yang banyak berhubung kaitkan dengan kehidupan manusia di
muka bumi ini. Kepengarangan yang terlahir dalam jiwa pengarang dapat
dibuktikan melalui kepelbagaian estetika bahasa yang menarik dan indah.
Nilai
estetika yang telah dibawa oleh pengarang dalam Gurindam 12 dapat dilihat
melalui unsur gaya bahasa. Pengarang telah menghasilkan perkataan gurindam yang
biasa, namun hasil daripada gabungan rima yang berpadanan, menjadikan sifatnya
begitu indah sekali, umpamanya dalam gabungan perkataan “derhaka-murka,” Fasal
10, perkataan “adil-kapil,” Fasal 10. Begitu juga yang terdapat dalam
fasal-fasal lain dalam gurindam tersebut.
Unsur-unsur asonansi dan aliterasi kurang terdapat
dalam puisi berbentuk lama ini. Namun unsur-unsur rima agak lebih jelas dan
kerap ditemui, terutama dalam Gurindam 12 ini. Pengarang telah meletakkan
unsur-unsur rima di bahagian hujung baris iaitu yang mempunyai skema aa, bb
bagi menimbulkan irama dan rentak yang menarik. Sebagai contohnya dapat dilihat
melalui Gurindam Fasal 10.
Dengan
bapa jangan durhaka , (aa) ,
Supaya Allah tidak
murka.
Dengan ibu
hendaklah hormat, (bb)
Supaya badan dapat
selamat.
Pengarang juga menggunakan unsur pengulangan
perkataan di antara baris, contohnya perkataan “Cahari” dalam Fasal 6 dan perkataan
“Apabila” pada Fasal 7telah menjadikan gurindam tersebut bertambah menarik.
Perkataan “Cahari” dan “Apabila” bertindak sebagai penegas dalam menyampaikan
mesej dan nasihat yang berguna kepada khalayak.
Fasal
6
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang
boleh dijadikan obat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang
boleh tahukan tiap seteru.
Fasal
7
Apabila banyak berkata-kata,
Di
situlah jalan masuk dusta.
Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
Itulah
landa hampirkan duka.
Dalam
Gurindam 12, pengarang telah memberikan gubahan bahasanya yang begitu tepat,
padat dan bernas untuk menyatakan sesuatu dengan berterus terang. Di samping
itu kita akan dapat melihat dan memahami sikap, perasaan, nilai dan sebagainya
dalam aspek kehidupan masyarakat Melayu lama.
Pengarang juga menggunakan diksi iaitu pemilihan dan penggunaan
kata yang tepat iaitu diksi dapat dilihat dalam Gurindam 12 dalam Fasal 5 baris
lima dan enam iaitu pemilihan diksi yang tepat berkisarkan tentang kelakuan
orang yang mulia.
Jika
hendak mengenal orang mulia,
Lihatlah
kepada kelakuan dia.
Dalam pada itu, pengarang juga menggunakan hiperbola sebagai
gaya perbandingan yang menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan bagi
menguatkan atau memperhebatkan lagi irama Gurindam 12 tersebut. Gaya bahasa
hiperbola dapat dilihat pada Fasal 7 pada baris 15 dan 16.
Apabila
menengar akan aduan,
Membicarakannya
itu hendaklah cemburuan.
Di samping itu, pengarang juga turut menggunakan gaya bahasa
paradoks iaitu membawa maksud penyataan yang kelihatan bertentangan iaitu
menggunakan unsur psitif dan negatif dalam satu baris tetapi kenyataannya
mengandungi kebenaran dengan pendapat umum atau realiti. Gaya bahasa paradoks
ini dapat dilihat dalam Fasal 4 baris 5 iaitu perkataan mengumpat dikategorikan sebagai perbuatan negatif manakala
perkataan memuji dikategorikan
sebagai perbuatan positif.
Mengumpat
dan memuji hendaklah pikir
Pengarang juga turut menggunakan gaya bahasa personifikasi bagi
meningkatkan mutu keindahan bahasa dalam Gurindam 12. Personifikasi merupakan
gaya bahasa yang membawa maksud pemberiaan sifat-sifat manusia kepada sesuatu
benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan atau peristiwa. Personifikasi dapat
dilihat dalam Fasal 9 pada baris 14 iaitu pada perkataan kepada hati yang tidak buta. Hati digambarkan
sebagai salah satu anggota dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai tidak buta
yang diberikan kepada sifat manusia. Pada Fasal 7 baris 2 Gurindam 12 juga,
personifikasi dapat dilihat melalui perkataan di situlah jalan masuk dusta iaitu membawa maksud dusta yang
diberikan kepada pernyataan sifat manusia yang berdusta diberikan kepada jalan
sebagai gambaran sesuatu keadaan apabila banyak berkata-kata.
Gaya bahasa simile juga turut digunakan oleh pengarang bagi
mengindahkan gubahan gurindam yang indah dan baik untuk dilagukan. Simile
merupakan gaya bahasa perumpamaan atau sesuatu perbandingan dengan menggunakan
kata “seperti’, ‘bagai’, ‘umpama’, dan ‘macam’. Gaya bahasa simile dapat dikenal
pasti dalam Fasal 2 baris 4 dan Fasal 12
baris 2 yang menggunakan perumpamaan ‘seperti’, Fasal 4 baris 18 menggunakan
perumpamaan ‘umpama’.
Fasal
2
Seperti
rumah tiada bertiang
Fasal
12
Seperti
kebun berpagarkan duri
Fasal
4
Mulutnya
itu umpama ketor
Pengarang juga turut menggunakan gaya bahasa sinkope atau
sinkof iaitu membawa maksud penggunaan singkatan kata. Dalam Gurindam 12,
pengarang tidak banyak menggunakan singkatan kata bagi menyampaikan gurindam.
Kata singkatan dapat ditemui dalam Fasal 9 baris 1 iaitu penggunaan perkataan
‘tak’.
Fasal
9
Tahu
pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan,
4.0
Kesimpulan
Raja Ali Haji dapat
melukiskan sesuatu yang mudah difahami dalam Gurindam 12 melalui maksudnya. Hal
ini demikian kerana Gurindam 12 hanya melukiskan hal-hal yang secara langsung
berhubungan dengan soal kehidupan manusia dengan agamanya, yang saling
berhubungan bagi menentukan perjalanan hidup yang sempurna. Baris-baris
perkataan yang digunakan tidak mempunyai ciri ambiguiti yang boleh memesongkan
tanggapan pembacanya. Hal ini dapat dibuktikan melalui tiap-tiap rangkap dalam
Gurindam 12. Di samping itu, terdapat falsafah dan pemikiran yang tinggi dan
baik bagi menyampaikan mesej yang berkesan kepada pembaca tentang maksud yang
ingin disampaikan oleh pengarang kepada pembaca seterusnya falsafah dan
pemikiran dalam Gurindam 12 ini amat berkait rapat dengan kehidupan manusia
dalam meniti arus gelombang dalam kehidupan duniawi yang penuh pancaroba dan
pahit getir dalam menempuh kehidupan yang sempurna. Kepengarangan dan estetika
yang terdapat dalam Gurindam 12 membuktikan pengarang sangat berpengalaman dan
bijak dalam menyampaikan bahasa puitis yang pelbagai dan menarik di samping
susunan bahasa yang menarik yang dapat meningkatkan kefahaman pembaca untuk
memahami setiap rangkap dalam Gurindam 12 dengan baik.
Bibliografi
Dr. Mohd Rosli Saludin (2007). Seni Berpuisi. Penang: Goal Intelligent
Publishing Sdn.
Bhd.
Bhd.
Dr. Hj. Mohd Rashid Hj. Md Idris et.al (2014). Karya Agung Melayu. Pusat Pendidikan Luar
&Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
&Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sejarah Gurindam
12. Diperoleh di http://ghazzal-fansuri.blogspot.com/2012/07/kita-dan-
sejarah-gurindam-12-raja-ali.html pada 10 Mei 2015.
sejarah-gurindam-12-raja-ali.html pada 10 Mei 2015.
Gaya Bahasa
dalam Komsas. Diperoleh di http://cikgu-rozali.blogspot.com/2011/09/gaya-
bahasa-dalam-komsas.html pada 10 Mei 2015.
bahasa-dalam-komsas.html pada 10 Mei 2015.
No comments:
Post a Comment